Saturday 29 October 2011

Di kota Madinah terdapat seorang pengemis Yahudi yang buta. Dia selalu memfitnah Rasulullah S.A.W dan menyuruh orang ramai memulau baginda. Tetapi, setiap pagi Rasulullah S.A.W mengunjunginya dan menyuapkan makanan kepada pengemis tersebut tanpa bersuara. Namun sejak kewafatan baginda tiada lagi orang yang membawa makanan kepadanya.
         Pada suatu hari Saidina Abu Bakar bertanya kepada anakandanya Aisyah, "Apakah amalan Rasulullah S.A.W yang belum pernah ayahanda lakukan?" Aisyah menjawab, "Semua perkara ayahanda telah lakukan kecuali satu sahaja. Setiap pagi Rasulullah S.A.W pergi ke hujung pasar membawa makanan untuk pengemis Yahudi buta di sana.
         Saidina Abu Bakar terus menuju ke pasar tersebut membawa makanan. Ketika Abu Bakar menyuap makanan, pengemis itu marah sambil berteriak, "Siapakah kamu? Kamu bukan orang yang biasa menyuapkan makanan kepadaku. Dia selalu menghaluskan makanan terlebih dahulu sebelum menyuapkan ke mulutku." Saidina Abu Bakar tidak dapat menahan air matanya sambil berkata, "Aku memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Orang mulia itu sudah tiada. Orang itu ialah Muhammad Rasulullah S.A.W."
         Pengemis tersebut terus menangis dan berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku sering mencaci dan memfitnahnya. Tetapi dia tidak pernah memarahiku. Bahkan dia melayanku seolah-olah bapa kandungnya."
         Akhirnya, pengemis tersebut pun memeluk islam di hadapan Saidina Abu Bakar.

No comments:

Post a Comment