Monday 31 October 2011

BISUL

Izani menjerit kesakitan apabila adiknya dengan tidak sengaja tersentuh punggungnya. "Aduh, sakitnya! Kenapa Ilah usik isul abang ni?" Izani bertanya dengan geram. "Eh, mana Ilah tahu abang ada bisul," Ilah mempertahankan dirinya. "Itulah lain kali jaga kebersihan badan tu. Dah kena bisul baru tahu..." Ilah menambah lagi.
        Puan Zainah menggeleng-geleng melihat telatah anak-anaknya. Dia tahu bahawa tahap kebersihan diri yang rendah dapat menyebabkan seseorang itu mudah dijangkiti kuman.

Apakah yang dikatakan bisul?
        Secara amnya bisul merupakan bengkak yang bernanah pada kulit yang terjadi akibat jangkitan bakteria. Bakteria ini dinamakan stafilokokus. Selain tahap kebersihan diri yang rendah, bisul juga terjadi disebabkan adanya kudis buta, gigitan serangga, penyakit kulit eczema, luka kecil dan kegemukan badan.
        Bisul merupakan penyakit kulit yang berjangkit melalui sentuhan dan pakaian. Ini berlaku apabila bisul pecah dalam masa 4 hingga 7 hari dan nanah yang keluar merebak ke seluruh badan pesakit atau kepada orang lain menerusi sentuhan.
        Ciri-ciri bisul ialah bengkak setempat, merah, terasa panas apabila disentuh dan terdapat punat atau nanah di tengah bahagian bisul. Bisul menyebabkan kawasan berhampirannya sakit dan berdenyut-denyut.
Rawatan...
1. Jangan pecahkan bisul kerana ini akan merebakkan kuman.
2. Basuh bisul dengan air dan sabun sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
3. Dapatkan rawatan doktor atau beli ubat di farmasi (magnesium sulfat ) untuk di sapu pada
    bisul ' masak ' lebih awal.
4. Apabila bisul pecah, bersihkan bisul menggunakan antiseptik sehingga kering.
5. Tutup bisul menggunakan pembalut kasa ( gauze ) atau kain bersih yang dibasahkan dengan
    antiseptik.


        Sekiranya jangkitan bisul adalah serius, seseorang itu mestilah mendapatkan rawatan doktor. Misalnya, bisul yang muncul dengan banyak sehingga menyebabkan demam, bisul terjadi di antara kedua-dua belah mata dan mulut, bisul yang besar dan dalam serta bisul yang menyerang kanak-kanak berusia di bawah dua tahun. Dalam kes-kes tertentu, pembedahan kecil mungkin diperlukan.

No comments:

Post a Comment